Revolusikan kewangan tradisional ke teknologi terkini




Oleh : Haniza Abdul Latif / Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid

 





JERUDONG, Rabu, 8 Mei. – Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah berkata, sektor kewangan Islam di Negara Brunei Darussalam (NBD) semakin maju dengan inisiatif digitalisasi, merevolusikan amalan kewangan tradisional dengan teknologi terkini yang disesuaikan dengan prinsip-prinsip Islam.

 

Berucap semasa menyampaikan ucaptama pada Majlis Perasmian Sidang Kemuncak Kali Ke-16 Islamic Financial Services Board (IFSB)  yang berlangsung di Dewan Indera Samudera, The Empire Brunei, di sini, Yang Berhormat seterusnya menjelaskan, tahun lalu, aplikasi mudah alih pertama yang menawarkan tandatangan digital dan kontrak digital diperkenalkan.

 

Pelaksanaan transformasi digital ini jelas Yang Berhormat, akan meningkatkan keupayaan mereka untuk menawarkan keselesaan, keselamatan dan aksesibiliti yang lebih besar kepada perkhidmatan kewangan kepada pelanggan.

 

Dengan transformasi ini tambah Yang Berhormat, ia akan menggalakkan inklusiviti dan memastikan ketangkasan kami yang berterusan dalam industri perbankan yang semakin terdigitalisasi.

 

Yang Berhormat seterusnya mengongsikan bahawa NBD juga komited untuk menangani isu perubahan iklim di peringkat nasional dan global, dan pada 2020, NBD telah menyerahkan (Nationally Determined Contributions-NDC) kepada Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (United Nations Framework Convention on Climate Change-UNFCCC).

 

Pada tahun yang sama tambah Yang Berhormat, NBD melancarkan Dasar Perubahan Iklim Kebangsaan Brunei Darussalam (Brunei Darussalam National Climate Change Policy-BNCCP), yang menggariskan strategi negara dalam menangani perubahan buruk corak iklim bagi membuka laluan rendah karbon dan berdaya tahan iklim NBD untuk sebuah negara yang mampan.

 

Di peringkat serantau pula menurut Yang Berhormat, NBD sebagai ahli Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN), telah membuat beberapa komitmen untuk menangani perubahan iklim di bawah Kumpulan Kerja ASEAN mengenai Perubahan Iklim (ASEAN Working Group on Climate Change-AWGCC).

 

Di peringkat antarabangsa ujar Yang Berhormat, NBD telah mengumumkan di Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang ke-26 atau Persidangan Pihak-pihak Konvensyen Kerangka Kerja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (COP 26) pada 2021 hasratnya untuk menuju ke arah sifar bersih menjelang 2050.

 

NBD juga jelas Yang Berhormat, menjadi pemimpin dalam penubuhan Pusat ASEAN untuk Perubahan Iklim (ASEAN Centre for Climate Change-ACCC), sebagai tuan rumah pusat tersebut.

 

Penubuhan ACCC kata Yang Berhormat, adalah inisiatif dan komitmen NBD di bawah kepimpinan ASEAN pada 2021, dengan tujuan ACCC adalah untuk memudahkan kerjasama serantau dan koordinasi dalam inisiatif perubahan iklim dalam kalangan Negara-negara Ahli ASEAN (ASEAN Member States-AMS) dengan kerajaan kebangsaan yang berkaitan, organisasi serantau dan antarabangsa, serta untuk memberi cadangan dasar mengenai menangani perubahan iklim kepada AMS.


Close